Sekolah Menengah Kebangsaan Ketari
Bentong, Pahang 28700 Malaysia Tel: +609 222 1278 
Mengenai Sekolah
 
 
 
SEJARAH RINGKAS SMK KETARI

Bermula pada tahun 1962 yang dinamakan sebagai Sekolah Lanjutan Bentong. Diwujudkan khas untuk murid-murid yang gagal peperiksaan Darjah Enam dan tidak layak ke Tingkatan 1. Sekolah Lanjutan ini menumpang sementara waktu di Catholic High School kerana bangunan sekolah belum didirikan. Kemudian berpindah ke bangunan baru Sekolah Menengah Sulaiman, Bentong pada 1964.

Terdapat lima orang guru dan 62 pelajar yang menjalankan sesi pembelajaran pada waktu petang. Pengetua sekolah yang pertama ialah Tuan Haji Ismail Bin Haji Ishak. Pelajar belajar selama dua tahun sebelum boleh menduduki peperiksaan awam iaitu Lower Certificate of Education (L.C.E).

Pada tahun 1965, bangunan baru telah siap dan dibuka secara rasmi oleh YB Encik Mohamed Khir Johari, Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu pada 19 Oktober 1966. Sekolah Lanjutan telah dimansuhkan dan lahirlah Sekolah Menengah (Rendah) Jenis Kebangsaan Ketari ( SMRJK Ketari ).

Ia terdiri daripada dua blok bangunan satu tingkat. Bangunan pertama digunakan sebagai pejabat sekolah, bilik pengetua dan bilik guru. Manakala bangunan blok A mengandungi 3 buah bilik darjah dan sebuah bilik kecil perpustakaan. Hanya menampung persekolahan pelajar sehingga ke Tingkatan 2. Kemudian dua lagi blok bangunan dua tingkat telah dibina iaitu Blok B yang digunakan sebagai bilik darjah, makmal sains, bilik masakan dan bilik jahitan manakala Blok C terdiri daripada 8 buah bilik darjah.

Pada tahun 1970-an, SMRJK Ketari mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Sebuah gelanggang bola keranjang telah dibina pada tahun 1974. Namun demikian sepuluh tahun kemudian, tapak gelanggang tersebut telah digunakan untuk bengkel seni perusahaan untuk kerja-kerja pertukangan. Kemudian pihak sekolah telah berjaya mengusahakan pembinaan sebuah lagi gelanggang bola keranjang, bola tampar, Pendidikan Jasmani dan perhimpunan rasmi.

Pada tahun 1975, buat pertama kali pelajar-pelajar boleh meneruskan pelajaran mereka sehingga ke Tingkatan 3 dan menduduki peperiksaan L.C.E.

Pada tahun 1980-an, SMRJK Ketari terus mencapai tahap kegemilangannya dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum. Pengetua ketika itu Encik Raghupathy Naidu mencipta slogan “Gold for Gold” dan menjadi terkenal dikalangan masyarakat setempat sehingga ramai ibu bapa ingin menempatkan anak mereka belajar di sekolah ini.

Pada tahun 1988, SMRJK Ketari bertukar nama kepada Sekolah Menengah Ketari. Bilangan pelajar semakin bertambah dan mengalami kekurangan bilik darjah untuk menampung peningkatan bilangan pelajar. Oleh itu, bangunan tambahan telah mula dibina pada tahun 1989 yang terdiri daripada 12 buah bilik darjah. Bilangan pelajar terus meningkat sehingga sekolah terpaksa mengadakan dua sesi persekolahan pada sesi akademik 1993/1994 iaitu sesi pagi untuk murid-murid Tingkatan 2, 3, dan 4. Sesi petang adalah untuk murid-murid Tingkatan Peralihan dan Tingkatan 1.

Mulai tahun 1994, Sekolah Menengah Ketari memasuki era baru iaitu bermulanya kelas menengah atas. Murid-murid boleh meneruskan persekolahannya sehingga ke Tingkatan 5 dalam aliran Sastera. Bilangan murid telah meningkat kepada 924 orng dan bilangan guru berjumlah 49 orang termasuk 13 orang guru siswazah serta 9 orang staf sokongan.

Pada tahun 1997, Sekolah Menengah Ketari dinamakan semula sebagai Sekolah Menengah Kebangsaab Ketari. Pada tahun berikutnya, ia telah ditingkatkan kepada sekolah Gred A. Banyak perubahan fizikal telah dibuat seperti pembinaan dua lagi blok bangunan baru untuk digunakan sebagai bilik darjah, bilik guru, makmal serta bengkel kemahiran hidup.

Pada tahun 1999 sekolah ini telah memulakan sebuah kelas Pendidikan Khas yang terdiri daripada 8 orang pelajar yang mempunyai masalah dalam pembelajaran dibawah bimbingan seorang guru Pendidikan Khas yang dihantar ke sekolah ini. Kelas aliran Sains Tingkatan 4 juga dibuka untuk menawarkan mata pelajaran sains tulen.

Mulai tahun 2000, SMK Ketari telah memulakan kelas Tingkatan 6 aliran Kemanusiaan yang bermula pada bulan Februari.
 
 

VISI

SMK KETARI Terbilang Menjelang 2013

 

MISI

Memperjuangkan kecemerlangan akademik
dan kokurikulum, melahirkan pelajar yang
berketrampilan, sistem pentadbiran yang
telus dan tulus serta melestarikan suasana
yang selesa dan selamat

 
 
 

Bahawasanya kami para pelajar Sekolah Menengah Ketari berikrar dan berjanji akan

  • Patuh dan taat pada Tuan Pengetua, guru-guru serta ahli keluarga sekolah ini.
  • Berusaha sedaya upaya untuk mencapai kecemerlangan 8A dalam PMR dan SPM serta 5A dalam STPM.
  • Menjuarai semua aktiviti kokurikulum yang disertai di semua peringkat.
  • Menjadikan sekolah kami sebagai institusi yang mampu membentuk insan-insan yang berketrampilan.
  • Kami berjanji menjadikan sekolah ini sebagai yang terbersih dan terindah.
  • LAGU SEKOLAH

    Marilah wahai kawanku
    Belajar janganlah jemu
    Masa depankan menentu
    Hidup kita terus maju

    Kita mesti berjasa
    Pada nusa dan bangsa
    Taat pada agama
    Segala cita terlaksana

    Sekolah Menengah Ketari
    Berusaha dan mendidik
    Harapan ibu dan bapa
    Semua turut gembira

    Kita mesti berusaha
    Mengejar cita-cita
    Semoga akan berjaya
    Demi Negara Malaysia